PETUGAS Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) meneliti paparan skrin kamera pengimbas haba  di Balai Ketibaan Penerbangan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO BERNAMA
PETUGAS Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) meneliti paparan skrin kamera pengimbas haba di Balai Ketibaan Penerbangan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO BERNAMA
Yun Mikail

SABAH melarang kemasukan peserta Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia 2020 sebagai usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, kerajaan negeri membuat keputusan itu dalam mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, hari ini.

“Tindakan ini dilaksanakan serta-merta bagi menyekat jemaah tabligh yang menghadiri program di Gowa, Sulawesi Selatan, Indonesia pada 18 hingga 19 Mac lalu datang ke negeri ini.

“Mereka tidak dibenarkan masuk ke Sabah untuk tempoh 14 hari bermula hari ini,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau menyatakan antara keputusan lain dipersetujui dalam mesyuarat sama adalah penutupan operasi terminal bas awam seluruh negeri.

Menurut beliau maklumat daripada setiap daerah mendapati bahawa masih banyak pergerakan penduduk di terminal bas daerah masing-masing sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memutuskan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) semua daerah menutup operasi terminal bas awam (antara daerah) di seluruh negeri bermula 21 sehingga 31 Mac hadapan sebagai usaha menangani perkara terbabit.

Dalam pada itu, Safar memaklumkan kerajaan negeri juga sudah menyelesaikan isu berkaitan ramai pelajar Sabah terkandas di beberapa lapangan terbang di Semenanjung pada 18 Mac lalu.

“Kita menyelesaikan isu ini pada 19 Mac melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

“Selain itu, penumpang-penumpang warganegara Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Semenanjung dan Sarawak atau di lapangan terbang Kota Kinabalu juga berjaya diatasi sepenuhnya pada jam 7 malam hari sama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 8:12 PM