UNIMAS mengetatkan kawalan di pintu masuk kampus universiti itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19. FOTO NORSYAZWANI NASRI
UNIMAS mengetatkan kawalan di pintu masuk kampus universiti itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


UNIVERSITI Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengetatkan kawalan di kampus universiti itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19.

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Dr Kamarudin Kana berkata, seramai 2,788 pelajar diarahkan kekal di kampus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Mereka diberi bantuan makan minum sebanyak RM18 sehari iaitu RM4 untuk minum pagi dan masing-masing RM7 sehari untuk makan tengah hari dan malam.

“Mereka boleh mendapatkan makanan menggunakan kupon yang disediakan di kantin di dalam kampus. Ini adalah langkah untuk pihak universiti meringankan beban pelajar dan keluarga di saat getir ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, buat masa ini pelajar yang diarahkan tinggal di kampus hanya dibenarkan keluar pada jam 11 pagi hingga 2 petang.

“Mereka hanya dibenarkan keluar sekiranya ada urusan penting yang tidak dapat dielakkan.

“Pelajar yang keluar masuk akan melalui saringan ketat di pintu masuk bagi pemeriksaan suhu badan yang dilakukan pihak polis bantuan universiti.

“Kita berharap pelajar mengikuti dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa bagi membendung penularan wabak ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 5:55 PM