Zatul Iffah Zolkiply


SERAMAI 87 penghuni madrasah di Kubung Bujuk dekat Kuala Terengganu dikuarantin selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, semua individu itu disahkan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dan ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu (HHT), kelmarin.

“Mereka ini dikuarantin di wad kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Selangor. Pesakit itu singgah di madrasah.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sudah mengambil langkah sepatutnya seperti menjejaki kontak-kontak yang mempunyai kaitan supaya kes ini dapat dibendung.

“Namun, setakat ini belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 dan orang ramai tidak perlu panik,” katanya pada sidang media berkenaan wabak Covid-19 di Wisma Darul Iman, hari ini.

POLIS berkawal di pekarangan madrasah yang dikuarantin 14 hari. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
POLIS berkawal di pekarangan madrasah yang dikuarantin 14 hari. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Dr Alias berkata, kerajaan negeri turut menyediakan empat pusat kuarantin bagi mengekang penyebaran koronavirus di Terengganu iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu yang mempunyai 58 katil, HHT di Hulu Terengganu (156 katil), Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh masing-masing ada 77 dan 44 katil.

“Setakat ini, hanya HHT diaktifkan bagi menempatkan 87 orang disyaki. Sekiranya berlaku pertambahan kes, kita akan mencadangkan beberapa lokasi lain untuk dijadikan pusat kuarantin,” katanya.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan sebuah madrasah di Kuala Terengganu ditutup sementara untuk nyahkuman dan kuarantin selama 14 hari bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Madrasah itu didiami lebih 300 orang termasuk pelajar tahfiz, tenaga pengajar dan staf sokongan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 1:34 PM