AHMAD Faizal (kanan) bercakap kepada media selepas keluar dari Istana Kinta. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Faizal (kanan) bercakap kepada media selepas keluar dari Istana Kinta. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah masih lagi belum membuat keputusan terhadap lantikan Menteri Besar Perak yang ke-13.

Perkara berkenaan disahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media sebaik sahaja keluar dari perkarangan Istana Kinta di Ipoh, hari ini.

“Alhamdulillah, kami bertiga mewakili parti UMNO,PAS dan juga Bersatu sudah mengadap Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kami menyembahkan sepucuk warkah (surat) untuk diperkenan Tuanku Sultan untuk pilihan seorang Menteri Besar baru bagi kerajaan Perak.

“Bagi pihak kami bertiga saya juga ingin menasihati semua rakyat bersabar dan bertenang sambil menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Tuanku Sultan berkenaan Menteri Besar yang Ke-13.

“Setakat ini Tuanku Sultan belum lagi membuat keputusan berhubung lantikan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak khususnya media yang bersabar menunggu sepanjang dua minggu.

“Saya berharap semua menjaga kesihatan seperti yang dititahkan Tuanku Sultan tadi agar kami semua ahli politik dan rakyat lebih mementingkan kepada kestabilan politik, tidak bercakaran sesama sendiri dan mementingkan keselamatan dan kesihatan buat seluruh rakyat,” katanya

Beliau turut sedikit membacakan perincian warkah yang disembahmaklukan kepada Tuanku Sultan sebentar tadi.

“Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang terdiri dari tiga komponen parti politik iaitu seramai 25 orang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), tiga orang Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan empat orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah bersepakat dan bersetuju untuk membentuk satu gabungan baru yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri untuk membentuk baru Kerajaan Negeri Perak. Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melantik seorang ADUN dari setiap parti komponen sebagai calon Menteri Besar untuk berkenan Ke Bawah Duli Tuanku seperti berikut, ADUN KOTA Tampan Datuk Saarani Mohamad (UMNO); ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) ADUN Semanggol, Razman Zakaria (PAS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 4:49 PM