DR Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP
DR Mahathir Mohamad. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masih memegang jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengakui parti itu sudah terbahagi dua.

Dr Mahathir berkata, berikutan itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mengaku beliau memangku jawatan terbabit kerana bertentangan dengan perlembagaan parti berkenaan.

“Dia (Muhyiddin) tak boleh jadi pemangku (Pengerusi Bersatu), apa perlu dia jadi pemangku?

“Saya masih Pengerusi Bersatu kerana mereka (Majlis Pimpinan Tertinggi) tolak perletakan jawatan (saya sebelum ini) dan saya terima balik (jawatan Pengerusi).

“Bersatu kini sudah berpecah dua, ada pihak ikut Muhyiddin dan ada ikut Pengerusi (Dr Mahathir),” katanya ketika ditemui pada majlis Kenduri Rakyat di Dewan Wawasan, Jitra, hari ini.

Pada 29 Februari lalu, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu mengumumkan memangku jawatan Pengerusi parti berikutan perletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Perlembagaan Bersatu menetapkan hanya seorang individu sahaja memegang jawatan Pengerusi.

“Perlembagaan tetapkan satu sahaja Pengerusi dalam parti. Tetapi sebahagian daripada parti (Bersatu) sudah terima dan ada kumpulan ikut (Datuk Seri) Najib (Razak).

“Kita belum adakan pemilihan, tetapi akan ada pemilihan untuk memilih pemimpin (Pengerusi),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 4:14 PM