Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

TAN Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersedia menerima jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Khadir Sheikh Fadzir berkata, kesediaan itu disuarakan Muhyiddin ketika pertemuan dua mata di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di Bukit Damansara di Kuala Lumpur petang hari ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pagoh itu sedia menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memegang jawatan politik utama itu.

“Hari ini sekadar pertemuan antara kawan lama yang terdiri daripada pelbagai parti politik. Kami hanya berbual biasa dan Muhyiddin banyak menceritakan pengalamannya dalam politik.

“Beliau juga menerima cadangan beberapa parti yang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya ketika ditemui di pekarangan kediaman Muhyiddin.

Terdahulu, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Ketiga-tiga parti itu mempersembahkan nama bekas Menteri Dalam Negeri itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 8:27 PM