Amir Abd Hamid; Suraya Roslan; Raja Noraina Raja Rahim; Muhaamad Hafis Nawawi; Muhammad Saufi Hassan; Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan sebentar tadi.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, selesai menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan kepada Ismail Sabri di Istana Negara.

Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara turut menyaksikan Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isteri Perdana Menteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin turut hadir.

Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

ISMAIL Sabri membaca Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri Kesembilan. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri membaca Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri Kesembilan. FOTO Bernama

Pada 16 Ogos lalu Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang menyebabkan kekosongan jawatan nombor satu itu.

Pada hari sama, Yang di-Pertuan Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Tahun lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, pada 1 Mac 2020.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos lalu sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hingga mencetuskan konteks keabsahannya memegang jawatan itu.

Pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti atau bipartisan antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan itu sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan, namun tawaran itu ditolak majoriti parti pembangkang.

Susulannya pada 16 Ogos lalu Muhyiddin mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang dibuatnya selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

"Saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan," kata Muhyiddin dalam perutusan terakhir sebagai Perdana Menteri kelapan.

Semalam, selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, jumlah mencukupi membentuk kerajaan.

Peristiwa bersejarah di Istana Negara hari ini sekali gus memuktamadkan polemik berkenaan seterusnya mendaulatkan sistem pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 2:42 PM