IBU pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur
IBU pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur
Rosyahaida Abdullah


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan terus memberi tumpuan kepada usaha membudayakan simpanan dalam kalangan masyarakat bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pinjaman saat melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, meskipun sejumlah 4.39 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka sehingga 31 Disember lalu, hakikatnya masih ramai pemilik akaun terbabit tidak aktif melakukan simpanan.

Malah kata beliau, terdapat pengguna yang sekadar membuka akaun sebagai memenuhi syarat bagi mendapatkan pembiayaan pendidikan yang disediakan PTPTN.

“Antara inisiatif kita adalah dengan melancarkan Ganjaran Kesetiaan 2020 membabitkan penghargaan kesetiaan kepada pendeposit SSPN-i yang membuka akaun jangka panjang iaitu sebelum 2017.

“Bagi ganjaran ini, pendeposit perlu menambah simpanan mereka dengan minimum RM500 dan maksimum RM8,000 dalam tempoh antara 5 Februari hingga 30 April 2020 untuk layak menerima satu peratus ganjaran.

“Selain itu, di bawah insentif Geran Sepadan, ibu bapa berpendapatan B40 yang melakukan simpanan maksimum RM10,000 untuk anak mereka, jumlah sama akan diberikan kerajaan apabila anak mereka melangkah masuk ke IPT nanti.

“Maksudnya, jika mereka melakukan simpanan RM100 setiap bulan sehingga mencecah RM5,000 misalnya ketika anak mereka ingin memasuki IPT, mereka akan menerima RM5,000 lagi dari kerajaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pertemuan dengan barisan pengurusan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) diketuai Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Yahaya.

Jelas beliau lagi, dengan kemudahan membuka akaun SSPN seawal usia sehari, ia seharusnya dimanfaatkan ibu bapa untuk mengelak bebanan pinjaman buat anak selepas tamat pengajian kelak.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya mensasarkan RM1.5 bilion bagi jumlah simpanan dalam dua produk SSPN pada tahun ini iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Katanya, PTPTN menerusi SSPN berjaya mencapai simpanan tertinggi berjumlah RM1.37 bilion pada tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan RM240 juta berbanding 2018 malah melebihi sasaran RM1.1 bilion yang ditetapkan pada 2019.

“Secara keseluruhan, SSPN mencatat simpanan keseluruhan berjumlah RM5.88 bilion sejak ia mula diperkenalkan pada 2004,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai kebenaran membuat bayaran balik pinjaman PTPTN selepas gaji peminjam mencecah RM4,000, beliau berkata, perkara itu perlu disemak terlebih dulu memandangkan terdapat perubahan dalam landskap politik terkini.

“Kita tidak boleh beri komen memandangkan saya difahamkan ia masih dalam perbincangan. Apa yang penting, jika peminjam berdepan kekangan untuk bayar balik, maklumkan pada PTPTN supaya kita dapat cari jalan terbaik bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:12 PM