GOBIND (tengah) bercakap pada Sesi Townhall pada Sesi Townhall Industri Muzik Sabah Bersama Penggiat Seni Sabah di Kompleks Bersepadu KKMM Kota Kinabalu Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
GOBIND (tengah) bercakap pada Sesi Townhall pada Sesi Townhall Industri Muzik Sabah Bersama Penggiat Seni Sabah di Kompleks Bersepadu KKMM Kota Kinabalu Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
Rafiqah Dahali


MASYARAKAT diseru memberi kerjasama kepada kerajaan supaya berhati-hati dan memeriksa kesahihan maklumat sebelum dikongsikan di media sosial bagi mengatasi penularan serta perkongsian berita palsu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya amat memerlukan kerjasama orang awam bagi mengatasi penularan dan perkongsian berita palsu.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengendalikan penularan berita palsu, namun persoalannya bagaimana kerajaan boleh mendapatkan kerjasama orang awam untuk membantu mengatasi perkara itu.

“Kini, perkongsian berita palsu menerusi media sosial berlaku sangat pantas, justeru kerajaan menasihatkan semua supaya periksa kesahihan sesebuah berita yang tular dengan teliti sebelum dikongsikan.

“Sekiranya berlaku perkongsian berita palsu di media sosial, orang ramai dinasihatkan membuat laporan polis dan dari situ, peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan membantu pihak polis secara teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview kepada isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah merangkap Exco Komunikasi dan Multimedia Sabah, Dr Yusof Yacob, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif MyTV, Mazlan Mahdi.

Gobind berkata, pihaknya melihat isu perkongsian dan penularan berita palsu, terutama menyentuh sensitiviti agama dan bangsa memberi impak besar kepada keselamatan negara serta ketenteraman awam.

“Kementerian saya meneliti perkara ini dan mengkajinya sejak beberapa tahun lalu. Terdapat beberapa cadangan (dasar) yang dikemukakan.

“Apabila kami sudah bersedia untuk membuat pengumuman mengenai dasar dan perkara berkaitan dengannya, pihak saya akan membuat sidang akhbar.

“Kami sedang dalam proses mendapatkan pendapat, bagaimana kami boleh menangani berita palsu berkaitan bangsa dan agama,” katanya

Dalam pada itu, Gobind berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif dengan memberi tambahan 300,000 unit dekoder percuma kepada golongan isi rumah B40 dan OKU.

Kerajaan melaksanakan inisiatif pemberian dekoder percuma kepada isi rumah B40 dan OKU itu sebagai tambahan kepada dua juta unit dekoder yang diperuntukkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:59 PM