Ahmad Rabiul Zulkifli


PANTAI Pulau Kekabu di Marang, belum selamat untuk aktiviti mandi manda susulan penemuan lebih 30 obor-obor Portuguese Man O’ War di pantai itu, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menemui obor-obor ‘predator’ itu ketika melakukan tinjauan rutin itu di pantai berkenaan pada 11.46 pagi.

“Kami ingatkan hanya beberapa ekor namun jangkaan kami silap apabila lebih 30 obor-obor yang masih hidup ditemui terdampar di pantai.

“Syukur tiada pengunjung yang mandi-manda atau bermain di tepi pantai ketika itu.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa berhati-hati ketika berkunjung ke pantai berkenaan,” katanya.

Mohd Zabri berkata, tinjauan yang dijalankan pihaknya semalam serta kelmarin tidak menemui obor-obor itu dan menganggap ia sudah tiada.

“Berkemungkinan masih banyak lagi obor-obor beracun itu di tengah laut, cuma belum ditolak arus dan ombak ke tepi pantai.

“Orang ramai yang terjumpa obor-obor itu, jangan sesekali kali cuba menyentuhnya dan segera beredar ke kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

“APM bertanggungjawab memastikan keselamatan orang awam dan akan sentiasa menjalankan pemantauan pada setiap masa di pantai berkenaan.

“Sekiranya ada pengunjung yang ingin mandi atau melakukan sebarang aktiviti di pantai itu, mereka dinasihatkan tidak berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, anggota APM Marang menemui obor-obor itu terdampar di Pantai Pulau Kekabu ketika menjalani Latihan Penyelamat Pantai pada 11 Februari lalu.

Sebanyak 11 bangkai obor-obor itu ditemui terdampar sepanjang pantai manakala 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air.

Berita berkaitan:

  • Jangan sentuh obor-obor ini [METROTV]
  • Obor-obor 'predator' di Pantai Pulau Kekabu [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:37 PM
    ANGGOTA APM Marang menunjukkan obor-obor jenis portuguese man o’ war yang dikutip terdampar di Pantai Pulau Kekabu. FOTO IHSAN APM
    ANGGOTA APM Marang menunjukkan obor-obor jenis portuguese man o’ war yang dikutip terdampar di Pantai Pulau Kekabu. FOTO IHSAN APM