Shafie mengangkat ikrar bebas rasuah sambil disaksikan Razim.
Shafie mengangkat ikrar bebas rasuah sambil disaksikan Razim.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur:m Pihak pengurusan dan warga kerja Aeon Co (M) Bhd dan Aeon BiG (M) Sdn Bhd atau Aeon komited untuk bebas daripada rasuah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat menyempurnakan Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) secara rasmi dengan sokongan dan

kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia amat penting untuk dilaksanakan bagi terus memberikan kesedaran dan menerapkan perasaan bencikan rasuah di setiap peringkat di Aeon.

"Apabila setiap tindakan atau keputusan yang diambil berasaskan kepada integriti, tanpa diselubungi gejala rasuah, syarikat ditadbir urus dengan baik dan pastinya berada di landasan betul untuk terus berkembang maju.

"Kelestarian syarikat menjanjikan masa depan lebih cerah kepada warga kerja dan pemegang taruh.

"Syarikat yang berdaya maju, dipacu oleh produktiviti yang tinggi akan turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Aeon tekad untuk terus mendukung IBR dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan akan sentiasa menyokong SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

Komitmen itu dizahirkan di majlis IBR yang dianjurkan dengan kerjasama SPRM secara hibrid dan sesi lafaz dan menandatangani IBR diketuai oleh Shafie dengan kehadiran hampir 200 orang merangkumi Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan sebahagian daripada warga kerja Aeon secara fizikal dan maya serta disaksikan Timbalan Pesuruhjaya, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin.

Aeon mengamalkan toleransi sifar terhadap sebarang gejala rasuah dan salah laku serta menyeru kesemua pemegang taruh di dalam ekosistem Aeon khasnya warga kerja Aeon menolak rasuah dan terus komited

menjalankan tanggungjawab masing-masing berpaksikan integriti.

Aeon akan meneruskan IBR dalam memastikan warga kerja Aeon dan juga ekosistem yang merangkumi lebih 12,000 pekerja turut memberikan komitmen bebas rasuah.

Aeon sedar amalan rasuah boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi dan menggoyahkan struktur pentadbiran negara.

Justeru, Aeon akan terus bersama menyokong kerajaan dan agensinya dalam memastikan gejala rasuah dapat dibanteras untuk negara terus makmur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:41 PM