Noor Atiqah Sulaiman


PERTUBUHAN Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS) menolak dakwaan bahawa pertubuhan itu sebagai kumpulan kongsi gelap serta tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Presiden PAKIS, Datuk Abdullah Ghani Kassim atau lebih dikenali sebagai 'Ayah Bos', berkata, walau bagaimanapun pihaknya tidak berkecil hati dengan dakwaan itu dan menjadikan ia sebagai semangat untuk terus berbakti membantu mereka yang memerlukan.

"PAKIS berdaftar dengan pihak ROS pada 17 Julai tahun lalu, dan sehingga kini sudah mempunyai lebih 5,000 ahli. Biar orang kata kita ini pertubuhan haram atau kongsi gelap, tidak mengapa. Sebagai manusia yang diamanahkan oleh Allah SWT di muka bumi ini, kami akan terus melangkah dan beramal,” katanya ketika ditemui ketika menghantar lebih 100 ahli PAKIS menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tadi.

Abdullah berkata, permohonan untuk menjadi ahli PAKIS semakin meningkat sehingga pihaknya terpaksa

membuat saringan sebelum meluluskan permohonan berkenaan.

"Berbalik pada tragedi yang dilaporkan akhbar sebelum ini, sehingga hari ini lebih 13,000 individu kita tapis untuk menjadi ahli, ini disebabkan PAKIS tidak mahu ahli kami terbabit dengan jenayah atau dadah. Atas sebab itu kita terpaksa berbuat demikian.

"Selepas kejadian berkenaan, saya turut mendapat nasihat dari rakan-rakan yang lain dan ada sedikit rasa tercabar. Saya menggunakan sedikit simpanan saya untuk membeli van untuk dijadikan sebagai van jenazah percuma kepada orang Islam.

"PAKIS akan terus menumpukan untuk membantu golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan sekolah tahfiz. Kami mengalukan mereka yang ingin mendapatkan bantuan untuk tampil kepada pihak kami untuk dibantu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan seramai 114 individu dipercayai ahli PAKIS, termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang.

Dalam serbuan berkenaan, kumpulan terbabit dipercayai sedang bersiap sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah yang diadakan di sebuah premis.

Menurut laporan berkenaan, polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran ahli Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (BATAS) serta enam al-Quran dan sejadah, yang dipercayai bagi tujuan majlis angkat sumpah atau ‘baiah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 4:09 PM
DATUK Abdullah Ghani Kassim ketika sidang media ketika majlis menghantar lebih 100 ahli PAKIS untuk menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Abdullah Ghani Kassim ketika sidang media ketika majlis menghantar lebih 100 ahli PAKIS untuk menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor