PUTRAJAYA Base Jump (PBJ) 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya.
PUTRAJAYA Base Jump (PBJ) 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya.
BERNAMA.

PUTRAJAYA Base Jump (PBJ) 2020, aksi terjunan ekstrim yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan dijadikan sebagai acara tahunan.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, ia susulan sambutan dan penyertaan luar biasa daripada penerjun tempatan mahupun antarabangsa, yang berjaya menarik minat orang ramai untuk datang menyaksikan acara hebat itu.

"PBJ 2020 adalah acara julung kali yang dianjurkan dengan pembabitan ramai penerjun antarabangsa berbanding penganjuran sebelum ini yang dibuat dalam skala kecil membabitkan peserta tempatan.

"Kita akan cuba kekalkan ia supaya menjadi satu lagi program ikonik oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dan jika dibangunkan secara teratur, PBJ berpotensi menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk mengunjungi Putrajaya," katanya semasa merasmikan PBJ 2020 tadi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim.

PBJ 2020 yang bermula sejak semalam menyaksikan seramai 34 penerjun profesional dari sembilan negara melakukan aksi terjunan dari ketinggian 40 tingkat bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Selain peserta tempatan, terjunan turut disertai peserta dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Estonia, Poland, United Kingdom, Rusia, Indonesia serta Jepun itu dianjurkan sempena Hari Wilayah Persekutuan, Jubli Perak Putrajaya dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Sementara itu, Noor Zari berkata terjunan 'base jump’ adalah sukan yang digemari masyarakat antarabangsa dan jika ditambah baik, PBJ boleh menjadi satu acara yang mampu menggamit kehadiran pelancong antarabangsa ke dalam negara, dan Putrajaya, khususnya.

“Bagi menyokong usaha PPj dan seiring langkah menjayakan misi nasional VM2020, pihak kementerian akan memasukkan PBJ sebagai satu daripada agenda dalam mempromosikan tahun melawat Malaysia,” katanya.

Bagi Aminuddin, hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menjadikan PBJ sebagai program ikonik Putrajaya atau acara tahunan adalah satu pengiktirafan terhadap usaha dilakukan pihaknya dalam mempromosikan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 2:56 PM