SEBANYAK 807 masjid dan 1,928 surau di seluruh negeri ini disaran mengadakan solat sunat hajat. FOTO NSTP
SEBANYAK 807 masjid dan 1,928 surau di seluruh negeri ini disaran mengadakan solat sunat hajat. FOTO NSTP
Oleh Mohamed Farid Noh


SEBANYAK 807 masjid dan 1,928 surau di seluruh negeri ini disaran mengadakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat esok bagi memohon supaya penularan wabak influenza dapat dibendung.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Shamsudin berkata, surat arahan berkenaan sudah diedarkan ke semua masjid dan surau sejak Selasa lalu.

"Solat sunat hajat itu diadakan bagi memohon kepada Allah supaya penularan wabak influenza di negeri ini dan seluruh negara dapat dibendung.

"Selain itu, solat sunat hajat bagi memohon Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, keselamatan, ke’afiatan dan dilindungi dari wabak penyakit termasuk influenza kepada seluruh rakyat Johor Darul Ta’zim.

"Orang ramai diminta hadir beramai-ramai ke masjid esok kerana solat sunat hajat ini akan diadakan sejurus selepas solat Jumaat selesai, " katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, media melaporkan kira-kira 89 orang murid di negeri ini disyaki dijangkiti wabak influenza membabitkan tujuh daerah dari prasekolah sehingga pelajar tingkatan empat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:55 PM