PELAJAR dan murid beratur untuk mengambil insentif RM3 selepas solat Subuh berjemaah.
PELAJAR dan murid beratur untuk mengambil insentif RM3 selepas solat Subuh berjemaah.
Ahmad Rabiul Zulkifli


HAMPIR semua masjid di Chukai mempunyai kewangan kukuh dan wajar memanfaatkannya dengan mengambil inisiatif seperti Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili.

Masjid itu memberi insentif RM3 kepada kanak-kanak dan remaja yang hadir menunaikan solat Subuh berjemaah.

Pegawai Agama Daerah Kemaman Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, inisiatif dijalankan menerusi Kempen Solat Subuh Masjid Batu 2 1/2 beri impak positif dan membuka mata ramai pihak.

“Ia sangat berkesan untuk memupuk dan menanam minat remaja serta kanak-kanak mengimarahkan masjid, jadi wajar untuk dicontohi masjid lain di Chukai.

“Lagipun hampir semua masjid ada kemampuan dan kewangan yang kukuh hasil sumbangan orang ramai, maka ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili di sini, menggalakkan remaja dan kanak-kanak hadir menunaikan solat Subuh berjemaah dengan memberi duit saku RM3 seorang.

Kempen Solat Subuh di Masjid itu berjaya mendorong pelajar dan murid di kawasan itu hadir ke masjid sebelum ke sekolah setiap pagi.

Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, sebanyak 508 masjid di Terengganu termasuk 50 masjid di Kemaman menjalankan kutipan mingguan setiap Jumaat dan mempunyai tabung umum tetap.

“Bukan jadi kesalahan atau timbul isu tidak ikhlas apabila memberikan insentif kepada kanak-kanak yang ke masjid kerana pendekatan itu berkonsep galakan awal.

“Malah, tidak semestinya masjid wajib menetapkan RM3 kerana pemberian insentif bergantung kepada kemampuan kewangan masjid juga,” katanya.

Berita berkaitan

Kempen RM3 jemaah Subuh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:20 PM