MUHYIDDIN bersalam dengan warga KDN selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUHYIDDIN bersalam dengan warga KDN selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) bagi menambah baik pengurusan isu berkaitan keselamatan negara.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pakar dan tokoh-tokoh bidang berkaitan untuk menganggotai majlis itu.

Beliau berkata, panduan berkenaan perkara itu sudah disediakan dan hanya mengambil sedikit masa sebelum mesyuarat pertama diadakan.

“Ia akan dipengerusikan oleh saya sendiri pada suku pertama tahun ini.

"MKKKA berfungsi untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan, cadangan terus dari kalangan pimpinan dalam masyarakat berhubung perancangan dan program dilaksana kementerian," Katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Muhyiddin berkata, melalui pertemuan itu kita akan bincang berhubung kaedah penambahbaikan dan pindaan undang-undang bersesuaian.

Menurut beliau, MKKKA juga adalah saluran untuk pihak berkepentingan menyampaikan ketidakpuasan hati berhubung penguatkuasaan dan standard operasi prosedur (SOP) KDN dan agensinya.

"Pada masa sama ia juga dapat merapatkan hubungan pihak kami dengan masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan negara kini sedang berhadapan dengan isu keselamatan dan ketenteraman yang semakin mencabar terutamanya jenayah rentas sempadan dan keselamatan siber.

Menurut beliau, adalah mustahak untuk kita mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah dari tempatan dan antarabangsa bagi menangani isu itu.

Katanya, KDN akan terus mengekang dan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui The New Non Profit Organization (NPO) Financial Environment Management menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Inisiatif ini akan mengenalpasti pertubuhan-pertubuhan berdaftar yang disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 3:19 PM