NOR Azian bersama anaknya, Nor Jasnini yang mengalami masalah tumbesaran. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOR Azian bersama anaknya, Nor Jasnini yang mengalami masalah tumbesaran. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


MESKIPUN sudah berusia 22 tahun, fizikal wanita ini tak ubah seperti kanak-kanak berusia enam tahun dengan berat badan hanya 13 kilogram.

Itu situasi dihadapi Nor Jasnini Jasmad Idris dari Tanjung Aur, Bota Kiri di Bota, selepas didiagonosis mengalami artritis idiopatik juvana (JIA) ketika berusia tiga tahun.

Penyakit berkaitan sendi dengan gejala seperti artritis atau radang sendi itu boleh menyerang kanak-kanak, sekali gus mampu menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan normal mereka ketika dalam tempoh membesar.

Ibunya, Nor Azian Lebar, 48, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu dilahirkan normal dan aktif seperti kanak-kanak lain sebelum diserang demam panas ketika berusia tiga tahun.

Menurutnya, sejak itu Nor Jasnini atau nama manjanya Nini sering mengadu tidak sedap badan, lemah dan kakinya juga terasa kebas serta seperti digigit semut.

“Selepas Nini disahkan mengalami JIA pergerakannya terbatas dan dia sudah tidak berdaya berjalan, malah untuk mengimbangkan badan ketika berdiri juga agak sukar.

“Doktor juga memaklumkan tulangnya lembut seperti kanak-kanak dan perlu menjaganya dengan baik supaya tidak terjatuh kerana berisiko patah.

“Sebab itu saya dan suami (Jasmad Idris Yeop, 54) akan mendukung dia ke mana-mana saja, termasuklah ketika dia masih belajar di sekolah dahulu,” katanya ketika ditemui bersama aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh, hari ini.

Nor Azian berkata, rawatan susulan Nor Jasnini yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kategori masalah pembelajaran itu dirujuk kepada pakar di Hospital Selayang, Selangor.

Katanya, anaknya itu turut mempunyai masalah darah putih lebih banyak berbanding darah merah dan perlu minum susu khas untuk menguatkan tulang dan menambah tenaga serta darah merah.

“Bagaimanapun sejak 2016, kami sudah tak pergi hospital kerana masalah pengangkutan dan duit, malah bekalan susu khas juga terputus sejak lebih lima tahun lalu kerana pendapatan suami tidak mencukupi.

“Kami hanya beri dia susu tepung biasa untuk tulang dan kalau ada duit lebih suami akan beli susu kambing untuk Nini yang akan minum susu empat kali sehari,” katanya yang memaklumkan suaminya hanya berkerja sebagai buruh dengan gaji RM800 sebulan.

Menurut Nor Azian, dia ada dua anak yang masih bersekolah dan akan memperuntukkan RM300 sebulan untuk keperluan ubat serta susu Nor Jasnini.

Katanya, Nor Jasnini juga berubah menjadi pendiam dan suka menyendiri kerana rendah diri dengan keadaan fizikalnya tidak seperti wanita seusianya.

“Penyakit itu menjejaskan tumbesaran Nini dan beratnya selalu turun naik dan tidak pernah mencecah 14 kilogram, jika beratnya naik hanya 500 gram saja.

“Ada juga yang bercakap mengenai fizikal Nini dan melihat dari reaksi mata serta bahasa badannya saya tahu dia sedih dan membuatkan saya juga sedih.

“Saya hanya mampu menasihatkannya supaya bersabar saja,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Azian di talian 017-5509877.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 2:38 PM