ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah.
ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah.
Dawn Chan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang terpalit dakwaan antara ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondominium di sini, Ahad lalu, bertekad terus berkhidmat untuk penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.

Wakil rakyat yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, berkata, beliau tidak terganggu dengan kontroversi yang melanda dirinya.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor itu berkata, bekerja untuk penduduk di kawasannya adalah keutamaan dan beliau akan berpegang kepada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang dipilih.

"Saya ada beberapa program yang sudah dirancang seperti perbincangan membabitkan kehidupan rakyat dan isu membabitkan kawasan saya ketika ini.

"Saya bekerja seperti biasa. Saya akan terus bersemangat dan bertanggungjawab terhadap pengundi yang memberi mandat kepada saya.

"Saya tidak akan membiarkan perkara ini memberi kesan kepada saya walaupun ia adalah cabaran terbesar yang perlu saya serta keluarga hadapi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adhif berkata, setakat ini beliau masih belum dipanggil pihak polis untuk merekodkan kenyataannya serta sudah menghubungi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas dakwaan beliau ditahan selepas didapati positif dadah, tersebar.

"Beliau memberi sokongan kepada saya dan ruang untuk bertenang," katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Adhif akan meneruskan tanggungjawabnya sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu juga berharap pihak berkuasa terbabit dapat menjalankan siasatan dengan adil dan tanpa takut atau emihak kepada sesiapa.

"Beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Justeru, beliau akan bekerja sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti biasa. Saya harap beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan tidak akan terganggu dengan isu yang melandanya.

"Setakat ini, beliau tidak mengakui (melakukan kesalahan). Jadi, saya akan memberi ruang kepadanya untuk membuktikan perkara itu melalui undang-undang. Bagaimanapun, jika beliau didapati bersalah, kami berharap tindakan akan diambil terhadapnya berdasarkan kepada undang-undang, dan untuk BERSATU serta Pakatan Harapan menentukan nasibnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bandar Saujana Putra, hari ini.

Mengulang kenyataannya semalam, Amirudin berkata, beliau juga senada dengan kenyataan Perdana Menteri dan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan prinsip tiada sesiapa melebihi undang-undang.

Beliau berkata, perkara itu juga akan dibincangkan di peringkat negeri dan kebangsaan selain beliau juga akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat PH negeri yang dijangka diadakan awal Februari ini.

Semalam, Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari, ketika ditemui pemberita, mengesahkan penahanan wakil rakyat terbabit, namun Adhif menafikan penahanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:36 PM