ANTARA minuman keras tanpa cukai yang dirampas daripada kenderaan dipandu seorang lelaki warga India di Jalan Lebuh Sungai Chandong, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA minuman keras tanpa cukai yang dirampas daripada kenderaan dipandu seorang lelaki warga India di Jalan Lebuh Sungai Chandong, Pelabuhan Klang, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBAAN seorang lelaki warga India menyeludup masuk minuman keras tanpa cukai gagal selepas dia ditahan di Jalan Lebuh Sungai Chandong, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Zulafendy Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota petugasnya sedang membuat rondaan di sekitar Pulau Indah terserempak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di lokasi itu kira-kira jam 9 malam.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kenderaan itu dipandu seorang lelaki warga India yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan menggunakan lesen memandu palsu.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 190 karton minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM75,000 yang disembunyikan dalam kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zulafendy berkata, semakan juga mendapati semua arak berkenaan tidak mempunyai dokumen pengesahan daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Tangkapan dan rampasan arak serta kenderaan terbabit dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:01 PM