LEE masih bertenaga menukul besi selepas dipanaskan. FOTO Rosman Shamsudin
LEE masih bertenaga menukul besi selepas dipanaskan. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


MESKIPUN kian dimamah usia, dua beradik ini masih bertenaga memerah keringat mengusahakan bengkel besi kaedah tradisional sejak 60 tahun lalu.

Dua beradik, Ban Lee, 82, dan Lai Lee Kiu, 80, belajar membuat alatan besi daripada bapa mereka sejak remaja lagi dan mewarisi bengkel itu selepas ketiadaan orang tua mereka itu.

Alatan besi yang dihasilkan termasuklah pisau, parang, sabit, cangkul, kapak, pencakar, pisau menoreh getah, bajak dan berbagai alatan pertanian lagi mengikut permintaan pelanggan.

Lee berkata, membuat alatan yang diperbuat daripada besi dengan menggunakan kaedah tradisional bukanlah kerja yang mudah kerana ia memerlukan kemahiran pertukangan yang tinggi.

Menurutnya, dia masih menggunakan arang kayu untuk memanaskan besi sebelum ia dibentuk menjadi peralatan besi seperti yang dikehendaki pelanggannya.

“Kerja ini memang memerlukan tenaga tetapi sudah sebati dengan kehidupan saya.

“Saya gembira melakukan semua ini, walaupun kudrat itu semakin berkurangan.

“Jika dahulu saya dan adik boleh menghasilkan kira-kira 20 alatan besi setiap hari, kini hanya tiga alatan sahaja dapat dibuat kerana usia yang tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Baharu, Slim River.

ANTARA peralatan besi yang dihasilkan Lee bersama adiknya. FOTO Rosman Shamsudin
ANTARA peralatan besi yang dihasilkan Lee bersama adiknya. FOTO Rosman Shamsudin

Walaupun bengkel itu nampak tidak tersusun, ada pelbagai alatan besi yang dihasilkan mengikut jenis untuk memudahkan pelanggan memilih dan membuat tempahan.

Pintu dan dinding kayu di bahagian depan bengkel masih digunakan lagi menjadikan bengkel itu cukup klasik dan mengimbau kembali nostalgia lama dalam bidang pertukangan besi zaman dahulu.

Sementara itu, Kiu berkata, orang muda sekarang bukannya suka terbabit dalam bidang pertukangan besi ini kerana mereka lebih gemar kerja makan gaji daripada kerja sendiri.

Katanya, lebih-lebih lagi kerja ini berdepan dengan bahang panas ketika membakar besi dan kadang kala berhabuk membuatkan kerja ini kurang diminati oleh golongan itu.

“Andainya kami berdua sudah meninggal dunia nanti, maka tiada lagi generasi pewaris daripada keturunan kami yang meneruskan kerja sebagai tukang besi.

“Apa boleh buat kerana anak tidak berminat dalam bidang ini dan sebagai bapa terpaksa akur dengan kerjaya yang anak ceburi demi masa depan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 12:32 PM