SHAFIE Apdal.
SHAFIE Apdal.
Suzianah Jiffar


Kota Kinabalu: “Saya beri sedekah itu di masjid di Sandakan, bukan di Kimanis,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau merujuk kepada sekeping gambar yang tular dalam kumpulan WhatsApp media Barisan Nasional (BN) dan media sosial yang menunjukkan ketua menteri memberi wang kepada jemaah masjid.

“Saya ketika itu di Sandakan bersama dengan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) selepas merasmikan lapangan terbang Sandakan, saya kemudian menunaikan solat di Sandakan.

“Bila menunaikan solat, saya beri sedikit sedekah kepada penduduk kampung di situ sebab saya tahu mereka berhadapan dengan masalah. Tetapi ia bukan di Kimanis, itu di Sandakan. Bukan tujuan kita bagi sedekah kepada orang supaya mereka mengundi...orang Sandakan bukan mengundi di Kimanis.

“Tak kan hanya kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis, kita tidak boleh beri bantuan kepada orang lain. Lumpuhlah kerajaan kalau macam ini kerana semua tidak boleh dibuat termasuk memberi bantuan hanya kerana PRK Kimanis,” katanya mengulas mengenai gambar berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Bahari Hassan dan selamat bertugas kepada Setiausaha Tetap kementerian yang baharu, Datuk Kaim Kalimin, di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Mohd Shafie bersama Guan Eng hadir majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, di Sandakan.

Mengenai taktik yang digunakan oleh pembangkang dalam PRK Kimanis itu, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyifatkan ia adalah satu taktik kotor.

“Kadang-kadang mereka (pembangkang) menceritakan bahawa saya gagal untuk membangunkan Sabah ketika saya menjadi menteri luar bandar.

“Tetapi mereka kena tahu bahawa peruntukan diberikan RM5 bilion dan ia bukan hanya untuk urus Semporna...bukan untuk Sabah saja, malah untuk satu negara,” katanya sambil menambah peruntukan sebanyak RM5 bilion bukannya besar.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata sambutan Krismas di Pekan Membakut itu sudah dirancang lebih awal.

“Namun secara kebetulan ia sama dengan PRK Kimanis (penamaan calon), sedangkan mereka sudah rancang lama. Ini adalah kali pertama saya dengar (orang membuat laporan mengenai sambutan Krismas).

“Tidak pernah pula saya dengar ada laporan (mengenai sambutan krismas) sebelum ini. Kita sebagai pemimpin dijemput, jadi kita datang,” katanya.

PRK Kimanis pada 18 Januari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan Datuk Mohamad Alamin daripada BN.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:39 PM