KERETA Perodua Kancil milik pelajar terbakar akibat ‘power bank’ yang ditinggalkan di dalam kereta di Taman Bersatu. FOTO IHSAN PEMBACA
KERETA Perodua Kancil milik pelajar terbakar akibat ‘power bank’ yang ditinggalkan di dalam kereta di Taman Bersatu. FOTO IHSAN PEMBACA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PELAJAR institusi pengajian tinggi awam (IPTA) rugi ribuan ringgit apabila Perodua Kancil miliknya musnah dalam kebakaran dipercayai akibat ‘power bank’ yang ditinggalkan dalam kereta di Taman Bersatu, Arau, hari ini.

Saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1.40 tengah hari apabila kereta terbabit diletakkan di luar rumah sewa pelajar itu.

“Pelajar itu melihat asap keluar dari dalam kereta terbabit, dan mendapati ‘power bank’ yang ditinggalkan di dalam kereta itu terbakar.

“Dia cuba memadamkan api, namun gagal sehinggalah rakannya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan pada jam 1.59 tengah hari dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Arau diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Rosnani Abu Seman bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setakat ini punca kejadian sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:56 PM