Hasbi Sidek


BAGI menghilangkan rasa gemuruh serta memberikan suasana ceria pada hari pertama persekolahan terutama buat murid Tahun Satu, Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, di Seremban, menampilkan watak adiwira Captain America dan Deadpool, hari ini.

Ternyata, kemunculan dua watak dari filem Hollywood itu ternyata menarik perhatian 700 murid sekolah berkenaan termasuk ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.

Guru Besarnya, A Santhanasmy berkata, idea menyediakan ‘penyambut tetamu’ dari watak filem kegemaran ramai itu bermula sejak tahun 2016, hasil perbincangan bersama sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus Sekolah.

WATAK adiwira Captain Amerika dan Deapool meraikan murid hadir hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan St Paul's Seremban. FOTO Hasriyasyah Sabudin
WATAK adiwira Captain Amerika dan Deapool meraikan murid hadir hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan St Paul's Seremban. FOTO Hasriyasyah Sabudin

“Tahun pertama kita bawa badut untuk sambut murid dan idea itu memang berhasil untuk wujudkan suasana ceria serta hilangkan rasa gemuruh murid Tahun Satu bagi memulakan hari pertama persekolahan mereka.

“Setiap tahun kita cuba tampilkan sesuatu yang lebih menarik dan rasanya kehadiran watak adiwira dari filem lebih mengujakan. Tahun ini pihak sekolah memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk kostum kedua-dua watak termasuk beberapa persediaan lain,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Ulas beliau, seramai 105 murid darjah satu mendaftar di SK St Paul pada tahun ini dan pihaknya cuba menanamkan perasaan bahawa mereka yang belajar di sekolah itu adalah murid yang terpilih.

“Semua murid Tahun Satu dipakaikan tanda nama tertulis ‘saya seorang yang hebat’ sebagai cara mengelak mereka daripada meragam.

“Apabila tiada murid yang menangis atau meragam, ia memudahkan kerja guru selain proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Malah ibu bapa tidak perlu risau meninggalkan anak mereka di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu mencari inisiatif bagi menarik minat murid untuk ke sekolah terutama bagi yang baru mendaftar yang mana mereka memasuki alam persekolahan yang tidak pernah ditempuhi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 11:10 AM