Mohd Rasydan memeriksa bilik pasangan yang disyaki berkhalwat di Pusat Peranginan Air Panas Ulu Legong, Baling pagi hari ini. Foto Safuri Kamarudin
Mohd Rasydan memeriksa bilik pasangan yang disyaki berkhalwat di Pusat Peranginan Air Panas Ulu Legong, Baling pagi hari ini. Foto Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

IBU tunggal anak satu ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah bilik di Pusat Peranginan Air Panas Ulu Legong, Baling pada pagi hari ini.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki muda setahun daripadanya oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Daerah Baling pada 2.50 pagi.

Pegawai JAIK Daerah Baling Sheikh Mohd Haizan Hamzah berkata, operasi cegah maksiat diketuai Penolong Pegawai JAIK Daerah Baling Sheikh Mohd Rasydan A Rahman membuat serbuan ke kawasan itu selepas menerima maklumat orang ramai mengenai aktiviti maksiat di situ.

Menurutnya, dalam pemeriksaan berkenaan pihaknya dapati pasangan itu berada berdua-duaan dalam bilik berkenaan.

“Apabila pintu dibuka seorang lelaki yang hanya bertuala berada dalam bilik dan wanita terbabit berpakaian lengkap berada di bilik air.

“Ketika disoal siasat, kita mendapati wanita berkenaan berasal dari Perlis dan pasangan terbabit memberi alasan berehat sebentar di bilik itu selepas mandi di kolam air panas di situ,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu diberikan notis mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Kedah 2014.

Katanya, sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Tiga pasangan lain turut disoal siasat kerana berdua-duaan di tempat terbuka di kawasan Air Panas Ulu Legong itu.

“Kita mengeluarkan surat saman kepada mereka kerana berkelakuan tidak senonoh dikhalayak ramai,” katanya.

Menurutnya, operasi malam tahun baru selama enam jam bermula 11 malam sehingga 5 pagi itu disertai lebih 30 anggota termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan anggota Skuad Al-Ansar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 11:59 AM