Keadaan banjir di jalan utama ke Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang, Kluang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan banjir di jalan utama ke Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang, Kluang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Ibrahim Isa

BILANGAN mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan kepada 5,651 daripada 1,563 keluarga berbanding 7,944 mangsa pada 12 tengah hari ini.

Pada 9 pagi hari ini, terdapat seramai 8,527 mangsa daripada 2,310 keluarga yang ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, sebanyak 71 PPS masih dibuka di tujuh daerah ketika ini.

“Daerah Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Batu Pahat dan Pontian masih terjejas akibat banjir, Muar pulih sejak semalam dan Johor Bahru hari ini.

“Pemerhatian mendapati Kluang menjadi daerah terburuk dilanda banjir dengan sebanyak 18 PPS masih dibuka untuk menempatkan 1,923 mangsa daripada 554 keluarga,” katanya.

Menurutnya, ia diikuti Segamat yang merekodkan seramai 1,256 mangsa daripada 340 keluarga di 25 PPS manakala Mersing merekodkan seramai 1,145 mangsa daripada 325 keluarga di sembilan PPS.

Katanya, Kota Tinggi (910 mangsa daripada 238 keluarga di 10 PPS), Pontian (221 mangsa daripada 51 keluarga di tiga PPS), Kulai (99 mangsa daripada 31 keluarga di dua PPS) dan Batu Pahat (97 mangsa daripada 24 keluarga di empat PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 6:58 PM