LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Mohamad Hussin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan pemberian vaksin polio kepada kanak-kanak warga asing di Sabah adalah untuk melindungi rakyat negara ini daripada dijangkiti virus berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kebiasaannya warga asing perlu membayar sebanyak RM80 setiap kali mendapatkan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, bagi kes yang berlaku di Tuaran, Sabah, KKM perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak jangkitan virus polio kepada kanak-kanak negara ini.

“Kita lihat data kanak-kanak warga negara yang mengambil vaksin sangat tinggi berbanding warga asing. KKM mengambil langkah memberikan vaksin kepada kanak-kanak bagi mengelak risiko dan jangkitan.

“KKM turut memberi vaksin kepada mereka yang berhampiran dengan kawasan kes yang dikenal pasti meliputi warga asing serta merta.

“Kita lihat kepada dua aspek yang mana kes ini sudah berlaku dan ada keperluan untuk kita beri vaksin kepada kanak-kanak termasuk warga asing tanpa sebarang bayaran. Bagaimanapun, mereka biasanya dikenakan bayaran RM80 untuk pengambilan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Diabetes dan Bantuan Pernafasan (CPR) 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

Dr Lee berkata, pihaknya sudah mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sudah mengenal pasti jenis virus itu yang berpunca dari Filipina.

“Buat masa ini, KKM belum ada dasar untuk menjalankan saringan ke atas rakyat negara itu yang datang ke Malaysia.

“Bagaimanapun, kita akan memastikan semua kanak-kanak di Sabah mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan.

“Kesedaran ibu bapa terhadap pengambilan vaksin untuk anak mereka sangat tinggi kerana mengikut data kami menunjukkan sebanyak 95 peratus rakyat negara ini sudah mengambil vaksin ini.

Menurutnya, KKM akan mendapatkan kerjasama daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi memperoleh bekalan vaksin untuk diberi kepada warga asing.

“Kementerian juga akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, KKM memaklumkan kejadian satu kes yang disahkan dijangkiti virus polio di Sabah membabitkan seorang bayi lelaki warga negara Malaysia berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Bayi berkenaan masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Berita berkaitan

Kanak-kanak, remaja bukan warga negara diberi vaksin polio

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 1:29 PM