Anwar menafikan fitnah gangguan seksual ke atas Muhammad Yusoff. FOTO NSTP
Anwar menafikan fitnah gangguan seksual ke atas Muhammad Yusoff. FOTO NSTP
Hairulazim Mahmud


“TINDAKAN yang dilakukan ini adalah muslihat menjatuhkan imej saya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara,” tegas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan cucu kepada bekas aktivis persatuan pengguna, Allahyarham SM Mohamed Idris iaitu Muhammad Yusoff Rawther semalam, kononnya Anwar melakukan gangguan seksual ke atasnya.

Anwar sebaliknya menafikan fitnah tanpa asas berkenaan.

“Pada tarikh yang didakwa, saya giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Saya juga menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, keluarga Muhammad Yusoff melalui Mohideen Abdul Kader juga mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan yang dilakukan olehnya selepas lebih setahun kejadian yang didakwa.

Sehubungan itu, Setiausaha Sulit Anwar, Shukri Saad akan membuat laporan polis hari ini.

“Peguam saya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan kepada Muhammed Yusoff,” katanya.

Semalam pada sidang media, Muhammed Yusoff dalam pengakuan bersumpahnya mendakwa kononnya ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya dan tidak bermoral terhadapnya.

Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa sidang media itu didalangi oleh bekas aktivis PKR Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 1:04 PM