Mohd Rafi Mamat


MENGUGUT untuk mendapatkan khidmat peguam dan mencabar penguatkuasa mengambil tindakan terhadap kilang yang beroperasi secara haram.

Itu tindakan yang dilakukan oleh pengurus kilang membuat arang jenis kiub di Lebuhraya Tun Razak dekat Kampung Pulau Manis, di Kuantan, apabila premis itu diserbu pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, serbuan Ops Kilang kira-kira 2 petang itu turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai pengurus kilang berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen sejak beberapa tahun lalu dan memasarkan produk mereka ke luar negara seperti Australia dan Timur Tengah.

“Ketika serbuan dilakukan, pelbagai alasan diberikan pengurus kilang berkenaan bagi mengelak pemeriksaan dilakukan, dia juga mencabar pegawai yang membuat pemeriksaan supaya mengambil tindakan sekiranya benar kilang miliknya terbukti bersalah.

“Dan lebih berani lelaki berkenaan seolah-olah mengugut untuk memanggil peguam milik syarikatnya bagi menyelesaikan kes sita yang dikenakan,” katanya, di sini hari ini.

ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyita dapur arang kiub selepas menyita kilang pada Operasi Bersepadu Ops Kilang, di Lebuh Raya Tun Razak. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyita dapur arang kiub selepas menyita kilang pada Operasi Bersepadu Ops Kilang, di Lebuh Raya Tun Razak. FOTO Mohd Rafi Mamat

Menurutnya, pemeriksaan di kilang berkenaan mendapati terdapat sebanyak 190 tanur atau dapur arang yang aktif secara berjadual menjalankan proses membakar arang jenis kiub berkualiti tinggi.

Katanya, semua alat berkenaan juga didapati tidak memiliki lesen atau permit yang dikeluarkan Bahagian Kilang JPNP dan pihaknya mengambil tindakan menyita kilang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah tunduk atau gentar dengan sebarang ugutan dan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 akan diambil.

Nor Azirim berkata, Jabatan Imigresen yang turut sama menyertai operasi itu turut menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bekerja di kilang berkenaan.

Menurutnya, Ops Kilang yang diadakan ini diharap memberi kesedaran kepada pemilik kilang berasaskan kayu supaya dapat mematuhi semua peraturan dan syarat ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Operasi yang diadakan selama seminggu bermula kelmarin itu disertai lebih 100 kakitangan daripada 10 agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 9:32 AM