Siti Sofia Md Nasir


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap badan itu yang didakwa menerima rasuah dalam proses permohonan dan pengeluaran sijil halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pihaknya tiada halangan untuk SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawai JAKIM terbabit, berpandukan artikel seperti yang didakwa.

“JAKIM turut melakukan siasatan dalaman dan ia masih berjalan, saya harap akan mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai perkara itu.

“Saya tiada halangan untuk SPRM siasat, saya menyambut SPRM untuk datang ke Bahagian Halal JAKIM kerana ini amat penting untuk membersihkan nama JAKIM yang dikenali dunia,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Wakaf Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung artikel bertajuk ‘Malaysia Halal Crisis’ di laman sesawang Asia Sentinel, bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti kakitangan JAKIM, dalam proses pensijilan halal Malaysia.

Menurut laporan itu, antara kes integriti itu membabitkan seorang penjual daging dari Lubnan yang mendakwa membatalkan hasratnya melabur di Malaysia, selepas pegawai JAKIM meminta RM50,000 sebagai pembayaran pendaftaran.

Sementara itu, Mujahid berkata, Rang Undang-Undang Akta Wakaf Wilayah Persekutuan (WP) kini sedang di peringkat akhir penelitian oleh Pejabat Peguam Negara, dan dijangka dibentangkan ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Katanya, selepas ia diluluskan, akta yang mempunyai tiga asas penting itu akan menjadi rujukan kepada semua negeri dalam mengurus dan mentadbir harta wakaf.

“Akta Wakaf itu nanti akan mempunyai tiga asas penting iaitu prosedur wakaf, melindungi pewakaf, dan dalam urusan mengurus wakaf iaitu dari sudut ketelusan yang mana ia tidak boleh disalah guna walaupun oleh kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 3:43 PM