Mohd Iskandar Ibrahim


CADANGAN menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai kementerian memerlukan kajian mendalam dengan mengambil kira semua aspek berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kajian bertujuan meneliti fungsi dan peranan JAKIM supaya selari dengan pembaharuan dilaksanakan kerajaan.

“Kajian tidak akan mengenepikan bidang kuasa negeri seperti diperuntukkan Perlembagaan.

“JAKIM berfungsi sebagai agensi bertanggungjawab untuk menyelaraskan isu pentadbiran Islam di peringkat negeri kerana kita tertakluk dari segi tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pihak Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed (BN-UMNO Kuala Krau) ketika membahaskan KSPRMK-11, mencadangkan kerajaan menaik taraf fungsi dan peranan JAKIM sebagai sebuah kementerian.

Mujahid berkata, kerajaan tidak akan membiarkan JAKIM disia-siakan begitu saja.

“Kita akan mengukuhkan fungsi dan struktur JAKIM kerana pelbagai usaha giat dilakukan berdasarkan rangka Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 6:16 PM