DR Mujahid bersama Mohamad Nordin Ibrahim dan Mohd Ajib pada Program Eco Alami Ride, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Mujahid bersama Mohamad Nordin Ibrahim dan Mohd Ajib pada Program Eco Alami Ride, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Samadi Ahmad


PENGGUNA disaran menggunakan sepenuhnya aplikasi ‘Verify Halal’ yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk semakan produk berstatus halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, aplikasi itu antara pendekatan JAKIM untuk mengelak pengguna terkeliru khususnya, bagi produk yang sengaja diletakkan tanda halal.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan penguat kuasa lain bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan logo halal JAKIM bagi produk yang tiada pensijilan itu.

“Tindakan undang-undang dikenakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kita bekerjasama dengan penguat kuasanya.

“Melalui aplikasi Verify Halal pula, pengguna boleh menyemak barangan halal yang disenarai dan pihak tidak bertanggungjawab juga sukar untuk mengelirukan pengguna,” katanya pada sidang media selepas menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Seramai 1,000 peserta menyertai kayuhan itu yang dibahagikan kepada tiga kategori.

Semalam, Dr Mujahid dilapor berkata, terdapat gerakan yang ingin menjatuhkan industri halal serta memburukkan reputasi JAKIM susulan isu lama berkaitan cop halal.

Berita berkaitan

Gerakan jatuhkan industri halal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 12:04 PM