UDANG dari Panama yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
UDANG dari Panama yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan dagangan membabitkan induk udang putih diimport dari Panama dengan anggaran nilai RM25,731.60 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, tindakan itu susulan pihak pengimport gagal mengemukan surat kebenaran untuk mengimport induk udang daripada Jabatan Perikanan ketika mengisytiharkan dokumen di Pejabat MAQIS.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas dagangan terdapat tiga kotak mengandungi 206 udang jenis ‘panaeus vennamei’ dengan anggaran nilai RM25,731.60.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua udang di dalam bungkusan berkenaan sudah mati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat permit import MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Tarmisal berkata, MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke Malaysia dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 1:28 PM