Perbicaraan kes Paul Yong ditetapkan lima hari dari 10 hingga 14 Februari depan. FOTO Arkib NSTP
Perbicaraan kes Paul Yong ditetapkan lima hari dari 10 hingga 14 Februari depan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop


PERBICARAAN kes EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia ditetapkan lima hari dari 10 hingga 14 Februari depan.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan itu ketika prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini.

Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu bagaimanapun tidak hadir pada prosiding berkenaan disebabkan perlu menghadiri mesyuarat membabitkan portfolionya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.

Pihak pembelaan diwakili peguam Farhan Sapian manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh berkenaan dan pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 24 saksi pendakwaan serta memohon jurubahasa Indonesia pada perbicaraan itu nanti.

Terdahulu, Farhan memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan semula dan bukannya perbicaraan disebabkan pihak pembelaan sudah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan kes itu kerana tidak mempunyai merit untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Azhar kemudiannya memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh perbicaraan secepat mungkin bagi memberikan keadilan kepada semua pihak bukan saja kepada mangsa tetapi juga kepada tertuduh yang ingin membersihkan namanya.

Peguam pemerhati mewakili pihak kedutaan Indonesia dan mangsa, Azura Alias turut memohon mahkamah supaya mempercepatkan kes itu kerana ia akan memberikan kesan emosi kepada mangsa jika masih tertangguh.

Norashima kemudiannya menetapkan tarikh berkenaan selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Berita berkaitan

Tangguh dulu...

EXCO dituduh rogol kembali bertugas

Perbicaraan kes rogol EXCO Perak tangguh

Perbicaraan kes rogol babit EXCO Perak bermula hari ini

Kes rogol Exco Perak: Mangsa akan beri keterangan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:22 PM