AHLI keluarga dan rakan mengusung jenazah Muhammad Azam ke dalam van sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung. FOTO Rosman Shamsudin.
AHLI keluarga dan rakan mengusung jenazah Muhammad Azam ke dalam van sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


“SAYA sedih sebab arwah adik (Muhammad Azam Abdullah) pergi konvoi bersama rakan tanpa memaklumkannya dan saya hanya tahu selepas menerima panggilan memaklumkan adik sudah meninggal dunia dalam kemalangan,” kata Mohd Nur Arif.

Mohd Nur Arif, 18, adalah abang kepada Muhammad Azam, 15, yang maut bersama rakannya, Nurul Insyirah Ab Aliyasok, 14, selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Behrang, hari ini.

Mohd Nur Arif berkata, arwah adiknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara kecuali mula berubah menjadi tenang sejak kebelakangan ini dan kali terakhir mereka bersembang malam kelmarin.

“Ketika kali terakhir berjumpa, kami hanya berbual-bual kosong, arwah sebelum ini cepat marah, namun berubah menjadi tenang sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di Behrang, hari ini.

Sementara itu, bapa Nurul Insyirah, Ab Aliyasok Samad, 47, berkata, dia sudah dua tahun tidak berjumpa dengan anaknya itu selepas berpisah dengan isterinya dan hanya berhubung melalui telefon serta WhatsApp.

“Saya memang terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak meninggal dunia kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sepanjang saya berhubung dengannya.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan yakin Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang turut mengikut konvoi berkenaan, Mohd Darwish Aiman Sharizan, 16, berkata, dia masih mengingati pesanan terakhir arwah yang meminta dia dan rakan supaya tidak menunggang laju dan meninggalkannya.

Menurutnya, dia dan rakannya termasuk kedua-dua arwah menyertai konvoi tujuh motosikal ke Program Santai Anak Utara (SAU2019) yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru, hari ini.

“Kami berhenti rehat di Hentian Sebelah Tanjung Malim sementara menunggu rakan lain sampai dan memulakan perjalanan semula sebelum selang beberapa minit motosikal dinaiki kedua-dua mereka terbabit kemalangan.

“Arwah (Muhammad Azam) seorang yang periang dan kami semua masih terkejut dengan kejadian ini. Malah, kami membatalkan hasrat untuk menyertai SAU2019,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua remaja maut berkonvoi'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:30 PM