OPERASI pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
OPERASI pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh


AKTIVITI riadah empat remaja mandi di Sungai Terawih Ketiau, dekat Putatan, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya ditemui lemas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Hadif Farhan Zuhairul, 14, yang juga pelajar Tingkatan Dua dikatakan sedang mandi bersama rakannya di sungai terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa cuba berenang ke tengah sungai untuk mengambil bola, namun gagal sebelum tangannya dilihat terkapai-kapai dan tenggelam.

Rakannya cuba menyelamatkannya namun gagal lalu bertindak meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal Radsung @ John berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5. 29 petang.

Beliau berkata, susulan itu, 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu dikejar ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui di kedalaman dua meter tempat dia tenggelam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 7.55 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:11 AM