KLUANG 08 NOVEMBER 2019. Seorang pekerja SWM Environment Sdn Bhd terpaksa mengangkat kakinya bagi mengelak daripada digigit anjing dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Renggam, Kluang. STR/ADNAN IBRAHIM
KLUANG 08 NOVEMBER 2019. Seorang pekerja SWM Environment Sdn Bhd terpaksa mengangkat kakinya bagi mengelak daripada digigit anjing dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Renggam, Kluang. STR/ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


KEHADIRAN lebih 20 anjing liar di sekitar Pekan Renggam di Kluang, sehingga ada yang mengejar pekerja SWM Environment Sdn Bhd menggambarkan betapa serius keadaan yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Renggam, A Sani Palal berkata, dalam kejadian petang semalam, seorang pekerja SWM dikejar anjing liar ketika cuba menjalankan tugas dan ia membahayakan keselamatan semua penduduk.

“Alhamdulillah, tiada kejadian tidak diingini berlaku, namun bayangkan jika ia berlaku kepada kanak-kanak.

“Kami sudah banyak kali membuat laporan dan memasang perangkap, namun masih gagal menangkap anjing liar sebaliknya jumlah anjing bertambah banyak,” katanya ketika ditemui, hari ini.

A Sani ditemui ketika melakukan tinjauan bersama Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohd Ishak Sher Mohamad di sekitar Pekan Simpang Renggam.

Sementara itu Mohd Ishak berkata, MDSR akan mencari langkah terbaik untuk menangani masalah itu kerana bimbang ia boleh membahayakan keselamatan penduduk.

Katanya, tindakan tegas perlu dilakukan bagi mengatasi pelbagai jenis masalah yang dilaporkan kepada MDSR bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita tidak mahu selepas sesuatu buruk berlaku baru tindakan diambil, keadaan ini akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan terhadap pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya bertindak lebih awal sebagai usaha pencegahan.

“Masalah anjing liar yang juga isu keselamatan atau kemudahan awam perlu ditangani segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kerana ia membabitkan nyawa penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 5:59 PM