JECK Seng (tengah) ketika majlis Penamaan Calon. FOTO Mohd Azren Jamaludin
JECK Seng (tengah) ketika majlis Penamaan Calon. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


“SAYA sedia untuk berperang habis-habisan,” kata calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng di Pontian, hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen kerusi itu mengakui akan bekerja keras bagi meraih sokongan pengundi selepas diberi amanah mewakili BN.

Bahkan beliau mengakui tidak berdepan masalah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak kerana ia sudah terjalin sekian lama.

“Kami tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama. Selama inipun kita dalam keluarga besar dan sama-sama memperjuangkan demi penduduk sekitar,” katanya.

Ramalam pelbagai pihak sebelum ini mengatakan Jeck Seng akan mewakili BN bagi merebut semula kerusi itu terbukti benar apabila beliau diumumkan sebagai calon.

Pengumuman dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad di Pejabat UMNO Bahagian Pontian.

Difahamkan persetujuan dicapai antara parti komponen BN yang mengutamakan semangat permuafakatan seperti mana diperjuangkan sejak penubuhannya.

Sebelum ini, pelbagai reaksi dikongsi beberapa pihak di laman sosial yang mahukan kerusi itu direbut UMNO selepas Jeck Seng tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Difahamkan keadaan itu menyebabkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan calon untuk PRK Parlimen Tanjung Piai, sebelum ini.

Bagaimanapun, semua perbalahan berjaya diselesaikan dan semua parti komponen sebulat suara akan bekerjasama bagi mencapai kemenangan.

Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2013 hingga 2018 sebelum tewas dengan majoriti 524 undi kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik (BERSATU) pada PRU-14.

Sebelum itu, Jeck Seng menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 6:13 PM