PELACUR dan lelaki warga asing serta dua lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di hotel di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Jabatan Imigresen Malaysia.
PELACUR dan lelaki warga asing serta dua lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di hotel di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Jabatan Imigresen Malaysia.
Mohd Azam Shah Yaacob


MENGENAKAN bayaran antara RM215 hingga RM800 sejam, satu sindiket pelacuran beroperasi di hotel di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur dikesan menawarkan wanita jelita kelas A sebagai teman seks kepada pelanggan.

Bagaimanapun, sindiket pelacuran menawarkan wanita warga asing berusia antara 22 hingga 35 tahun digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, malam tadi.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dalam serbuan menerusi Ops Gegar bermula 9.50 malam hingga 11.15 malam itu, seramai 21 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 15 wanita selain enam lelaki termasuk dua lelaki tempatan.

“Dalam operasi membabitkan 15 pegawai itu, seramai 25 orang diperiksa dan seramai 21 daripadanya ditahan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan berkenaan.

“Wanita ditahan itu membabitkan 10 warga Vietnam, tiga warga Indonesia dan dua warga Thailand manakala enam lelaki itu pula membabitkan tiga warga China, seorang warga Myanmar dan dua rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan persundalan di hotel itu beroperasi setiap hari bermula 10 pagi hingga 4 pagi dengan menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat.

Katanya, sindiket sama itu pernah digempur sebelum ini, namun mereka masih berdegil dan meneruskan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Soal siasat terhadap wanita berkenaan mendapati mereka itu tidak diletakkan tetap di hotel terbabit dan sering bertukar lokasi.

“Malah, oleh kerana kebanyakan mereka itu muda dan mempunyai paras rupa menawan, mereka mengaku mendapat permintaan dan melayan sehingga 12 lelaki setiap hari,” katanya.

Hamidi berkata, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, JIM Kuala Lumpur turut mengeluarkan empat saman Borang 29 kepada dua majikan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 6:49 PM