GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


REMAJA perempuan berusia 18 tahun berdepan detik hitam apabila dirogol oleh empat rakannya dalam kejadian di Bukit Chempaka, Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa keluar ke pasar raya di Kuala Terengganu bersama bapanya yang berusia 58 tahun, kira-kira 10 malam.

Katanya, sewaktu di pasar raya terbabit bapa mangsa mendapati anaknya tiba-tiba hilang dipercayai keluar bersama rakan.

“Pada malam berkenaan bapa mangsa dapati anaknya tidak pulang ke rumah dan susulan itu lelaki terbabit mencari remaja berkenaan di rumah rakan mangsa di Bukit Chempaka, 11.30 pagi, kelmarin.

“Apabila tiba di kediaman terbabit bapa mangsa dapati anaknya berada di dalam rumah itu dan remaja terbabit memaklumkan dia dirogol oleh empat rakannya.

“Mangsa mendakwa kejadian rogol itu dilakukan oleh empat lelaki berkenaan sewaktu berada di rumah dan di dalam kereta di kawasan berdekatan lapangan terbang di Gong Badak,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian mangsa di bawa ke hospital bagi rawatan dan pemeriksaan.

Jelasnya, bapa mangsa turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kelmarin bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes rogol berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 3:06 PM