NUR Hanisah meraikan kegembiraan bersama datuk dan neneknya pada Majlis Konvokesyen UNIMAS yang ke-23, di Kota Samarahan, semalam. FOTO Garret Dawum
NUR Hanisah meraikan kegembiraan bersama datuk dan neneknya pada Majlis Konvokesyen UNIMAS yang ke-23, di Kota Samarahan, semalam. FOTO Garret Dawum
Garret Dawum


PESANAN arwah bapanya supaya belajar bersungguh-sungguh sentiasa menjadi pegangan Nur Hanisah Basuan, 22, hingga dia menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang ke-23, semalam.

Nur Hanisah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Tumbuhan berkata, sejak pemergian bapanya dia berazam untuk memajukan diri, fokus dengan pelajaran serta tidak menjadikan status anak yatim piatu sebagai halangan untuk berjaya.

“Ibu meninggal dunia ketika saya berusia 18 bulan akibat penyakit asma dan sejak itu saya dijaga oleh datuk serta nenek kerana ayah bekerja jauh di Sarikei.

“Ketika saya sibuk dengan persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ayah saya pula jatuh sakit dan meninggal dunia lima bulan kemudian akibat kanser limfoma,” katanya.

Menurut Nur Hanisah, anugerah itu didedikasikan buat datuknya, Abang Kerny Abang Abdul Razak, 74, dan nenek, Horiah Mahruf, 73, yang menjaganya sejak kecil.

“Datuk dan nenek antara insan yang banyak memberi semangat dan dorongan sejak saya menjadi anak yatim piatu.

“Mereka akan sentiasa memastikan saya dan abang menerima pendidikan yang sempurna,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Bekas penuntut Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching itu berkata, dia merancang meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di dalam bidang Sains Tanah selepas ini.

“Mungkin saya sambung pengajian di UNIMAS atau universiti lain di Jepun. Saya ingin belajar hingga peringkat tertinggi kerana mahu melakukan lebih banyak penyelidikan bagi membantu pembangunan di negara ini khusus dalam bidang berkenaan tanah.

“Saya masih tidak sangka dapat anugerah ini kerana ramai yang dicalonkan,” katanya yang memiliki Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.85 dan pernah menerima anugerah dekan sebanyak enam kali sepanjang pengajian.

Sementara itu, Abang Kerny berkata, cucunya adalah seorang yang mendengar kata dan tidak pernah melawan.

“Sebagai penjaga saya hanya berpesan kepada dia untuk belajar baik-baik demi kelangsungan hidup dan kesenangan diri. Saya sangat bangga dengan kejayaan dicapainya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Shervin Leong Weng Ee, 24, dan Anugerah Canselor diterima oleh Kelvin Juing Tinggom, 23, serta Anugerah Pro-Canselor diterima oleh Muhammad Haziq Roslan, 22.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:00 AM