Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Nor Akmar Samudin


“AYSAR ok, kurang merengek dan keadaannya nampak lebih positif serta selesa,” kata Muhammad Nassar Sanusi, 29, bapa kepada bayi berusia enam bulan, Aysar Nasri yang menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik.

Dua beranak itu kini berada di India dan Aysar dijangka akan menjalani pembedahan pemindahan hati pada Rabu atau Khamis ini di Hospital Max Healthcare, New Delhi.

Menurut Nassar, sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan itu, Aysar perlu menjalani beberapa pemeriksaan termasuk ujian DNA untuk memastikan proses pembedahan berjalan lancar.

Demi melihatkan anaknya kembali sihat, Nassar sanggup berkorban dengan menderma dua bahagian daripada lapan bahagian hatinya kepada anak bongsunya itu.

“Sejak dimasukkan ke wad di hospital ini, keadaan Aysar lebih positif dan kurang merengek tetapi hari ini dia selsema.

“Tiub yang menyalurkan susu dan makanan terpaksa ditanggalkan buat seketika kerana bimbang terkena jangkitan kuman.

“Dia nampak lebih selesa tanpa tiub tetapi saya bimbang berat badannya menurun kerana berat Aysar sekarang 5.7 kilogram dan harap akan bertambah seberat mungkin menjelang hari pembedahan.

“Aysar terpaksa dibawa menjalani pembedahan di hospital ini kerana mereka mempunyai kepakaran untuk melakukan pembedahan terhadap Aysar walaupun beratnya tidak mencapai sasaran yang sesuai dibedah,” kata menerusi aplikasi WhatsApp kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Nassar tidak bersendirian ke sana apabila ditemani kakak dan adiknya iaitu Najihah Salwana, 33, dan Nahlah Salwana, 27, memandangkan isterinya Nor Asyifa Mohd Fauzi, 21, terpaksa membatalkan niat untuk menemani suami dan anaknya selepas permohonan cutinya ditolak.

“Bagaimanapun, isteri saya yang baru dapat cuti selama lima hari akan datang ke New Delhi pada Khamis ini,” katanya.

Menurut Nassar, selepas pembedahan itu nanti Aysar akan terus ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi (ICU) dan beliau sendiri juga akan dimasukkan ke wad untuk dipantau kesihatannya.

“Keadaan saya selepas mendermakan sebahagian hati kepada Aysar mungkin tidak akan sama seperti dulu lagi di mana doktor menasihatkan saya tidak melakukan kerja berat, tidak boleh terlalu aktif dan menjaga pemakanan,” katanya.

Mereka akan berada di New Delhi selama dua bulan dan hanya dibenarkan pulang ke tanah air selepas tahap kesihatan Nassar dan Aysar stabil.

Aysar dikesan menghidap penyakit hati kronik sejak 16 Mei lalu dan memerlukan RM120,000 bagi menampung kos pembedahan Nassar bersama anaknya itu.

“Saya sudah membayar semua kos hospital termasuk pembedahan dan ubatan sebanyak RM132,000.

“Doakan pembedahan ini berjaya dan Aysar dapat membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya yang bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Bersama-sama kita doakan mereka...

Terima kasih rakyat Malaysia

Bantulah Aysar Nasri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 4:07 PM