HASMANITA  menunjukkan gambar anaknya, Muhamad Iman Haziq yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi  HPP.
HASMANITA menunjukkan gambar anaknya, Muhamad Iman Haziq yang kini ditempatkan di unit rawatan rapi HPP.
Zuhainy Zulkiffli


GEORGETOWN: Usianya baru menjangkau setahun namun dugaan amat berat buat seorang bayi yang menghidap penyakit paru-paru kronik.

Dalam usianya itu, Muhamad Iman Haziq Mohamad Izham terpaksa menjalani tiga pembedahan bagi memastikan dia sihat.

Ibu Muhamad Iman Haziq, Hasmanita Aziz, 30, berkata, anak tunggalnya itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Sejurus dilahirkan pramatang, anaknya itu terpaksa dirawat di Hospital Sungai Petani (HSP), Kedah, selama 56 hari selepas didapati mengalami masalah jantung berlubang.

Namun ketika berusia lima bulan, Muhamad Iman Haziq didapati mempunyai masalah salur darah terkeluar daripada jantung ke paru-paru dan perlu menjalani pembedahan.

“Selepas pembedahan itu berjaya, dia terpaksa menjalani satu lagi pembedahan berikutan masalah saluran pernafasan sempit.

“Ketika dalam pemantauan doktor, kesihatan anak saya sekali lagi diuji dan perlu menjalani pembedahan ketiga berikutan saluran pernafasannya kembali sempit akibat jangkitan kuman,” katanya.

Muhamad Iman Haziq kemudian dihantar ke Hospital Serdang, Selangor dengan menaiki helikopter bagi menjalani prosedur meluaskan saluran pernafasan (balloon angioplasty) dan kembali dirawat di HPP.

Kini, kesihatan Muhamad Iman Haziq terjejas berikutan dijangkiti virus herpes yang menyebabkan saluran pernafasannya kembali sempit dan masih dirawat di HPP.

“Saya dimaklumkan doktor belum ada pakar di Malaysia yang boleh merawat penyakit berkenaan dan kerana itu saya merayu pakar luar negara mengubatinya.

“Sejak melahirkan Muhamad Iman Haziq, saya terpaksa berhenti kerja di kedai menjual makanan sejuk beku dan jarang pulang ke rumah kerana perlu tinggal di wad bersama anak,” katanya.

Muhamad Iman Haziq memerlukan dana untuk membeli mesin alat bantuan pernafasan dan oksigen yang dianggarkan bernilai RM50,000.

Selain itu, anak kecil terbabit juga memerlukan sekurang-kurangnya 12 tin susu khas berharga kira-kira RM100 setiap satu bagi keperluannya selama sebulan.

“Sudah lama kami tidak tinggal di rumah seperti keluarga lain. Urusan rumahtangga kini dibantu suami (Mohamad Izham Idrus, 31) yang bekerja di kilang di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB Hasmanita bernombor 7620475232.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 6:10 AM