FRED (gambar kecil) maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum terbabit dalam kemalangan. FOTO IHSAN JBPM
FRED (gambar kecil) maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum terbabit dalam kemalangan. FOTO IHSAN JBPM
Garret Dawum


PEMAIN bass kumpulan rock popular Iban Tamang Raja, Febrenus Harry Usup atau lebih dikenali sebagai Fred Venus maut apabila kereta dipandu terbabit dalam kemalangan di Jalan Poi-Majau, Kanowit, semalam.

Dalam kejadian 7.05 malam, mangsa berusia 36 tahun dan memandu Perodua Axia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kanowit.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Ngemah menuju ke Sibu.

“Setibanya di lokasi, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri sebelum terhumban ke parit.

“Maklumat awal diterima daripada isterinya memaklumkan mangsa ada mengadu sakit dada sebelum kejadian dan dipercayai terkena serangan jantung sebelum kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tega berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan seorang bayi lelaki.

Tamang Raja adalah kumpulan popular dengan hit single bahasa Iban seperti ‘Tikas Pengerindu’, ‘Nama Kebuah Nuan Enda Madah’ dan ‘Asai Ka Gila’.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba, mangsa didapati masih berada di tempat duduk dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:16 PM