GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengamalkan langkah perbelanjaan berhemah bagi memastikan peruntukan yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2020 dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dengan peruntukan yang diberikan, PDRM akan terus berusaha bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, menerusi Belanjawan 2020, lebih 130,000 warga PDRM mendapat tujuh manfaat secara langsung antaranya seperti kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana, penawaran perlindungan kemalangan RM100,000, faedah ex-gratia kematian RM150,000 kepada waris selain peruntukan RM250 juta bagi menyelenggara dan membaiki kuarters sedia ada.

“Antara manfaat lain yang turut diperoleh warga PDRM adalah penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari bagi ganjaran wang tunai, barangan khas RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara sebelum penghujung 2019.

“Ini tidak termasuk peruntukan RM16.9 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantapkan lagi sektor pertahanan dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, manfaat lain yang turut diterima PDRM itu termasuklah peruntukan bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan berjumlah RM50 juta kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Katanya, menerusi peruntukan itu pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen akan turut dipasang dengan kemudahan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV).

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan yang diberikan.

“Malah, PDRM akan cuba untuk mengambil langkah selari dengan dasar kerajaan bagi berbelanja dengan berhemah segala peruntukan diberikan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 6:39 PM