AZLAN  (kiri) dan rakannya membina benteng pasir  menahan ombak yang menyebabkan hakisan  di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.
AZLAN (kiri) dan rakannya membina benteng pasir menahan ombak yang menyebabkan hakisan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara.
Hassan Omar


ALOR GAJAH: “Jangan lupa kami kerana kampung ini turut terjejas akibat hakisan,” kata penduduk Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat sini, Azlan Idris, 58.

Katanya, rumahnya semakin teruk mengalami kerosakan akibat hakisan pantai yang mungkin menyebabkan dia kehilangan tempat berteduh jika tiada tindakan diambil.

“Kami amat berharap kerajaan negeri menambah peruntukan untuk membina tembok penghalang ombak di kampung kami yang terjejas teruk sejak hakisan pantai berlaku pada Ogos lalu.

“Saya hairan mengapa kampung ini tidak disenaraikan untuk pembinaan tembok penghalang ombak melalui kaedah pembinaan batu lapis lindung seperti yang diumumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, minggu lalu,” katanya.

Azlan mendakwa, JPS sepatutnya turut menyenaraikan kampung itu bagi pembinaan tembok berkenaan kerana hakisan pantai menyebabkan ombak merobohkan sebahagian daripada dapur kediamannya.

Penduduk, Abdul Rahman Daud, 59, berkata dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyewa jentera mengangkut batu besar dan meletakkannya di bahagian dapur rumahnya bagi mengelakkan hakisan merobohkan kediamannya.

“Batu besar itu diambil dari benteng pemecah ombak kira-kira 100 meter dari rumah saya untuk dijadikan benteng menahan ombak.

“Saya merayu kerajaan negeri memberikan peruntukan tambahan kepada JPS bagi membolehkan Kampung Balik Batu turut menerima projek pembinaan tembok penahan ombak,” katanya.

Katanya, hakisan pantai itu tidak boleh terus dibiarkan kerana semakin hari semakin luas kawasan yang terhakis hingga mengancam keselamatan penduduk.

Minggu lalu Harian Metro melaporkan Abdul Hakim dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta kepada jabatan itu untuk melaksanakan segera pembinaan tembok lapis lindung atau rock revetment bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang serius di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru; Kampung Tanjung Dahan di Kuala Linggi dan Kampung Pengkalan Balak di Masjid Tanah, dekat sini.

Katanya, tawaran tender akan dibuat tidak lama lagi bagi membantu menyelamatkan pantai, pangkalan nelayan dan kediaman penduduk di tepi pantai yang terjejas akibat fenomena berkenaan dan Kampung Balik Batu yang turut terjejas perlu menunggu peruntukan yang lain.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah, ketika dihubungi berkata, beliau ada mendapat maklum balas secara lisan daripada pihak tertentu dalam kerajaan negeri yang memberi isyarat positif berhubung peruntukan bagi membina struktur binaan yang sama di Kampung Balik Batu.

“Saya tidak berani berjanji tetapi memang ada maklum balas positif secara lisan. Saya harap penduduk kampung itu bersabar sementara menunggu maklum balas yang muktamad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:40 AM