MOHAMMED Shukor
MOHAMMED Shukor
Mohd Fauzi Abdullah dan Salman Hamat


KUALA LUMPUR: Walaupun ‘perang’ terhadap ulat dijalankan berterusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), golongan terbabit dikesan masih mencari mangsa menggunakan media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail berkata, dalam era digital kini ramai orang mendapatkan maklumat di platform itu tanpa mempedulikan sama ada ia sahih atau tidak.

“Ada iklan di Facebook (FB) dan WhatsApp memberi khidmat gerenti lulus jika menggunakan perkhidmatan runner. Ini tidak benar kerana kami menggunakan peralatan yang dikalibrasi dan secara automasi. Bacaan pemeriksaan dihantar terus ke pusat pangkalan data tanpa ruang untuk dimanipulasi oleh manusia.

“Contohnya pemeriksaan brek, kenderaan akan melalui lorong pemeriksaan dan berhenti di atas ‘roller’, roller akan berputar dan pedal brek ditekan bagi memastikan tahap cengkaman brek kenderaan.

“Pemeriksa perlu mengikut arahan dipaparkan di atas skrin supaya keputusan pemeriksaan boleh dijana. Bacaan cengkaman brek akan dipaparkan secara terus di skrin seterusnya bacaan itu dihantar ke pangkalan data bagi tujuan penjanaan laporan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, peralatan pemeriksaan dan sistem yang menentukan keputusan pemeriksaan, bukannya pemeriksa kenderaan.

Katanya, dalam menangani isu berkenaan pihaknya menjalankan inisiatif antaranya menggalakkan pelanggan berurusan terus dengan Puspakom.

“Temujanji boleh dibuat melalui www.mypuspakom.com.my dan pembayaran dalam talian diperkenalkan untuk memudahkan pelanggan berurusan serta membuat bayaran tanpa tunai,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro menghubungi beberapa nombor diiklankan di FB untuk mendapatkan sebut harga bagi pemeriksaan kenderaan.

Individu yang menjawab panggilan itu memaklumkan bersedia memberikan perkhidmatan di sekitar Lembah Klang dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi pemeriksaan cermin gelap bergantung kepada keadaan.

Nombor lain yang dihubungi pula memaklumkan, caj dikenakan untuk pemeriksaan penukaran hak milik kereta adalah RM100.

Bagaimanapun, semakan mendapati bagi pemeriksaan cermin gelap bayaran dikenakan Puspakom hanya RM15 manakala untuk penukaran hak milik RM30.

Ada juga individu dihubungi memaklumkan mengenakan upah antara RM20 hingga RM50 bagi setiap pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:10 AM