FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengetatkan polisi pemulangan bayaran balik temu janji dalam talian MyPUSPAKOM bagi mengatasi isu tempahan temu janji palsu dan tempahan temu janji secara berlebihan bagi pemeriksaan kenderaan.

Dalam satu kenyataan, Puspakom berkata, polisi baharu ini dibuat kerana siasatan mendapati majoriti permohonan pemulangan bayaran balik adalah daripada pemilik akaun yang membuat temu janji palsu atau membuat temu janji dengan banyak pada satu-satu masa dan membuat pembatalan.

Katanya, hasil siasatan menunjukkan ada pemilik akaun MyPUSPAKOM membuat tempahan temu janji antara 100 hingga 500 dalam talian dalam masa sebulan, namun tidak hadir menjalankan pemeriksaan kenderaan pada waktu temu janji.

"Akibat daripada ini, slot temu janji MyPUSPAKOM kerap penuh. Kumpulan ini dipercayai adalah orang tengah atau 'runner', yang menjalankan aktiviti mengaut keuntungan dengan menawarkan slot temu janji yang ditempah mereka kepada pelanggan yang benar-benar ingin menjalankan pemeriksaan kenderaan, terutama di pusat pemeriksaan di Lembah Klang.

"Pengguna akaun MyPUSPAKOM yang mempunyai kekerapan menjadualkan semula tempahan, membuat pembatalan dan memohon pembayaran balik akan dipantau dan disekat oleh sistem MyPUSPAKOM secara automatik," katanya.

Puspakom turut menjelaskan, polisi pemulangan bayaran balik MyPUSPAKOM diperketatkan bertujuan menghapuskan penyalahgunaan sistem tempahan oleh pengguna akaun yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, mulai 10 Oktober depan, Puspakom tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembayaran balik berdasarkan situasi pelanggan tidak hadir untuk pemeriksaan kenderaan pada tarikh temu janji.

"Ia termasuk mereka tidak dapat membuat pemeriksaan kerana tidak membawa dokumen yang lengkap, mereka membawa kenderaan yang berbeza daripada kenderaan dinyatakan dalam slip pengesahan temu janji serta mereka gagal memenuhi terma lain dan syarat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Puspakom akan membenarkan maksimum sehingga tiga tempahan temu janji bagi kenderaan persendirian untuk setiap pelanggan atau pengguna sehari.

Katanya, pihaknya yakin bahawa apabila langkah-langkah ini dilaksanakan, akan ada lebih banyak lagi slot temu janji untuk tempahan bagi kenderaan persendirian mahupun perdagangan melalui platform MyPUSPAKOM.

"Puspakom memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ketersediaan slot pemeriksaan tidak melebihi tiga hari berkerja berbanding sebelum ini iaitu tujuh hari atau lebih.

"Kita juga menggesa pelanggan terutama pengusaha kereta baharu dan terpakai untuk tidak melanggan perkhidmatan 'runner' yang tidak beretika dan berhenti membeli slot temu janji daripada mereka.

"Pelanggan boleh menghubungi 03-2052 8989 atau menghantar emel kepada [email protected] dengan segera sekiranya dihubungi orang tengah yang menawarkan slot pemeriksaan, yang kebiasaannya menjual dengan harga yang amat tinggi.

"Pengguna akaun MyPUSPAKOM dinasihatkan untuk membaca terma dan syarat di www.mypuspakom.com.my untuk maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 2:31 PM