LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Abdul Rahemang Taiming


ENAM suspek kes pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat Tawau, baru-baru ini, disambung reman dua hari lagi, sehingga lusa.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata permohonan untuk menyambung reman terhadap semua suspek itu dibuat di Mahkamah Majistret Tawau selepas tempoh reman empat hari sebelum ini berakhir hari ini.

Katanya, Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus membenarkan permohonan itu.

Beliau berkata, perintah tahanan reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8(c) Akta Senjata Api terhadap semua suspek, iaitu lima warga tempatan dan seorang warga asing berstatus pendatang tanpa izin berumur antara 48 hingga 68 tahun.

“Polis dalam proses akhir melengkapkan kertas siasatan, selari dengan siasatan dikendalikan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rabu lalu, polis menahan semua suspek ketika serbuan di kawasan FELDA Umas, dekat Tawau.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas selaras pump gun; raifal dan bakakuk buatan sendiri, peluru hidup dan kelongsing peluru.

Dua daripada enam suspek terbabit adalah pekerja FELDA Umas, yang bertanggungjawab mengawasi hidupan liar yang memasuki kawasan ladang.

Motif pembunuhan gajah dipercayai untuk mengambil gading, selain mengikut arahan menjaga kawasan daripada dicerobohi hidupan liar kerana suspek digaji khas bagi menjaga kemasukan haiwan ke kawasan ladang.

Polis kemudiannya turut menemui dua gading gajah yang ditanam di kawasan kebun.

Berita berkaitan

Empat ditahan susulan kematian gajah

Ganjaran RM30,000 heret pembunuh gajah pgymy

Mati terseksa, 70 peluru dalam badan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 11:12 AM