Ahmad Ismail


KEHIDUPAN seekor kambing bernama Syakban cukup istimewa kerana dilayan seperti manusia oleh pasangan suami isteri di kediaman mereka di Bandar Labis, Labis sejak dilahirkan.

Pemiliknya, Abdul Rafar Yusof, 50, berkata Syakban yang diberi nama sempena bulan Syaaban mula dibawa tinggal bersama dia dan isteri, Rosnita Kamis, 44, selepas kelahirannya seperti tidak boleh diterima ibu kambing itu.

Katanya, kambing betina spesies ‘kampung kacang’ itu sering disepak dan dipijak ibunya di dalam kandang, sejak hari pertama kelahirannya.

“Ibunya juga enggan memberi susu kepadanya, selain bertindak ganas terhadap Syakban. Bimbang Syakban mati akibat cedera dan kelaparan, saya dan isteri membawanya masuk ke kediaman kami bagi memastikan ia terus hidup,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Abdul Rafar yang juga Imam Masjid Bandar Labis berkata, dia dan isteri melayan Syakban seperti manusia termasuk memakaikan lampin pakai buang dan dibiarkan hidup bebas di dalam rumah.

SYAKBAN dibawa menikmati sarapan di gerai. FOTO Ahmad Ismail
SYAKBAN dibawa menikmati sarapan di gerai. FOTO Ahmad Ismail

Katanya, Syakban yang kini seberat kira-kira 10 kilogram turut berkongsi pelbagai aktiviti harian seperti bersiar-siar, berjoging bersama, ikut ke majlis perkahwinan, bersarapan di gerai serta tidur di sofa khasnya dalam rumah mereka.

“Syakban tidak mahu duduk di tempat penumpang belakang kereta kerana ia lebih suka berada di pangkuan isteri saya di bahagian penumpang hadapan.

“Apabila kami membawa Syakban ke majlis rasmi atau majlis jamuan makan, ia kerap menjadi tumpuan umum.

“Roti canai adalah makanan kegemarannya ketika bersarapan dan dia gemar makan daun jambu batu. Selain itu, Syakban diberi susu tepung sebagai tambahan kepada dedak,” katanya.

Abdul Rafar berkata, setiap hari antara sekeping atau dua lampin pakai buang bersaiz kanak-kanak digunakan oleh Syakban.

“Kami membelanjakan kira-kira RM120 setiap bulan bagi kos perbelanjaan lampin pakai buang, susu tepung dan dedak selain persediaan ubatnya.

“Orang kata kambing takut air tetapi Syakban suka mandi dalam bilik air apatah lagi menggunakan syampu,” katanya.

Dia berkata, kambing berwarna coklat dan putih itu juga tidak pernah merosakkan perabot dan peralatan lain dalam rumah pemiliknya.

“Syakban tidak gemar ditinggalkan bersendirian di rumah dan apabila kami pulang, dia akan membuat bising seolah-olah memarahi kami kerana meninggalkannya.

“Waktu tidurnya adalah pada siang hari kerana sepanjang malam, ia akan berjaga seperti kakitangan keselamatan dan meronda dalam rumah serta mengembek kuat jika terdengar salakan anjing,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Rafar berkata, haiwan juga mudah dibentuk untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan manusia jika betul cara didikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 3:57 PM
GELAGAT Syakban dibawa menghadiri majlis kenduri kahwin. FOTO Ahmad Ismail
GELAGAT Syakban dibawa menghadiri majlis kenduri kahwin. FOTO Ahmad Ismail