SEMBILAN pengantin baru yang diraikan pada majlis Raikan Cinta Perkahwinan Beramai-ramai, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
SEMBILAN pengantin baru yang diraikan pada majlis Raikan Cinta Perkahwinan Beramai-ramai, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


DUDA dan dara antara sembilan pasangan pengantin baru yang diraikan dalam Majlis Raikan Cinta Perkahwinan Beramai-Ramai Vol 1 2019 di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, hari ini.

Mohd Dzulazahar Mohd Salim, 36, yang menduda sejak beberapa tahun lalu disatukan dengan Fatimah Mohd Radzi, 22, selepas berkenalan selama dua tahun.

Kata Mohd Dzulazahar, kesudian Fatimah menerimanya dan empat anak berusia 11 hingga 14 tahun membuatkan dia terbuka hati untuk berkahwin lagi selepas perkahwinan pertama yang hanya bertahan sembilan tahun.

“Dan hari ini menjadi episod paling manis dalam hidup saya apabila disatukan dengan insan yang berjaya ‘membuka’ semula hati saya,” katanya yang berasal dari Temerloh.

Majlis itu anjuran pengurusan dan butik pengantin. Lebih 200 tetamu hadir memeriahkan acara meraikan sembilan pengantin baru.

Sementara itu, pengantin paling muda, Siti Nur Nabilla Asyykin Mohd Alwi, 20, berkata, dia dan suaminya Mohd Jamian Mohd Sukri, 24, disatukan selepas lima tahun berkenalan.

“Bermula hanya sebagai abang dan adik angkat, saya tidak sangka suami sebenarnya menyimpan perasaan terhadap saya.

“Saya pernah mencabarnya supaya menghantar rombongan meminang dan tidak sangka dia betul-betul buat demikian, tahun lalu.

“Alhamdulillah, hari ini kami disatukan dalam majlis yang meriah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:17 PM